Ramadan adalah bulan pengampunan, bulan diturunkan al-Quran, rahmat dilimpahkan, dan adanya malam ‘Lailatulqadar’ dimana malam itu lebih baik daripada seribu bulan. Sebab itulah Ramadhan adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang islam.
Kita kena bersyukur dengan adanya bulan mulia ini, sebab ia menjadi satu asbab untuk kita dekatkan diri dengan pencipta kita. Rugi tau kalau kita ndak ambil peluang keemasan di bulan ini. Bila tiba saja Ramadhan, Rasulullah adalah hamba Allah yang banyak bersedekah, sebab…
“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” (HR Riwayat at-Tirmidzi)
Jom baca antara kebaikan bersedekah di bulan Ramadhan di bawah:
1) Pahala yang berlipat ganda
Amalan bersedekah boleh dibuat bila-bila masa ja, tapi amalan yang baik ini bila dilakukan di bulan Ramadhan pahala kita akan dilipat gandakan. Sedekah itu juga adalah sebagai penyempurna kepada puasa yang kita tengah lakukan.
2) Mendapat naungan di hari akhirat
Sesiapa yang bersedekah di bulan Ramadhan, dia termasuk antara 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan di hari akhirat nanti, seperti yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW.
“Seseorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalannya itu sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kanannya.”
Sedekah yang baik adalah apabila sedekah itu tidak diketahui oleh orang lain. Cukup Allah saja yang mencatat amalan baikmu.
3) Memberi keberkatan pada harta
Para ulama ada menyatakan bahawa harta tidak akan berkurang hanya kerana bersedekah. Malah harta tersebut mendapat keberkatan dan pahala yang kita dapat daripada bersedekah itu berlipat kali ganda dengan sedekah yang diberi.
4) Pintu syurga buat orang yang bersedekah
Hadis riwayat menjelaskan bahawa orang yang meyumbangkan hartanya di jalan Allah akan dihadiahkan pintu syurga buatnya. Dan golongan itu adalah orang yang mendirikan solat dan orang yang suka bersedekah.
5) Menyucikan diri
Bulan Ramadhan adalah bulan pengampunan, di mana Allah akan melimpahkan rahmatNya, keampunanNya dan pembebasan api neraka kepada hamba yang bersedekah dan menyayangi sesama manusia.
6) Menguatkan iman
Rasulullah SAW mengatakan bahawa sedekah adalah salah satu bukti keimanan seseorang. Shidqu Imanihi atau perkataan sedekah itu sendiri yang bererti kebenaran dari iman seseorang.
7) Bersyukur dengan hati yang senang
Siapa yang pernah rasa perasaan bila dia bersedekah, hati rasa senang dan lega? Ini adalah sebab timbul rasa syukur dalam diri bila membantu orang yang memerlukan.
Berbuka puasa bersama anak-anak yatim juga antara sedekah yang boleh kita buat di bulan Ramadhan yang mulia. Tambah lagi mereka adalah antara golongan yang patut kita raihkan.