Majlis keraian sama ada majlis korporat, perkahwinan, hari lahir, kenduri dan lain-lain majlis tidak sah jika tidak disajikan pilihan makanan yang lazat dan enak.
Antaranya makanan utama seperti nasi minyak, nasi beriyani, mee goreng, spageti, aneka pencuci mulut, buah-buahan dan banyak lagi.
Salah satu cara popular menghidangkan makanan sekarang dengan menyediakan station atau pondok-pondok kecil di sekeliling khemah hidangan.
Biasanya menunya adalah hidangan unik dan istimewa sehingga tetamu terkenang-kenang kelazatan menu dihidangkan.
Apa kata jadikan 5 menu unik ini untuk majlis keraian anda.
#1. Aneka Pilihan Sate.
Menu ini memang menjadi pilihan utama tetamu. Menu evergreen tidak kira di bulan Ramadhan, sambutan rumah terbuka Aidilfitri atau majlis umum yang lain.
Pelbagai pilihan sate disediakan seperti Sate Daging, Sate Ayam, Sate Rusa, Sate Perut, Sate Ikan dan banyak lagi. Gabungan nasi impit, kuah kacang, hirisan timun dan bawang cukup sempurna sebagai menu yang seimbang.
Semua golongan daripada kanak-kanak dan dewasa menjadikan menu ini wajib untuk dimakan sebelum pulang.
Bahkan dari jauh baunya seperti menyambut kehadiran tetamu yang datang. Apa kata jadikan ia menu wajib majlis anda, pasti meriah!
#2. Yong Tau Foo.
Menu masakan cina ini memang unik. Ada pelbagai pilihan perisa, sup, kuah sos dan kekacang. Bertambah bagus apabila dimasukkan juga sayur-sayuran untuk jadikan ia menu seimbang.
Ibu ayah dan anak-anak boleh makan bersama. Dah terbayang keenakannya bila masuk sahaja dalam mulut. Kenyal, lembut, manis, pedas semua ada.
#3. Rendang Kerang.
Biasanya di mana-mana majlis, tetamu dihidangkan dengan rendang daging dan rendang ayam. Apa kata untuk majlis anda, berikan kelainan.
Cuba hidangkan rendang kerang pula. Gabungan rempah ratus, kerisik, bawang kisar, serai, cili, pedas dan kemanisan kerang cukup menggamit memori makanan tradisi masyarakat melayu. Ia memang ada keunikan tersendiri.
#4 Aneka Cendol Istimewa
Selepas tetamu nikmati makanan berat atau kehausan ketika tiba ke majlis keraian, apa kata sebagai tuan rumah kita sediakan aneka cendol untuk tetamu. Selain aiskrim, hidangan cendol antara tarikan utama tetamu ke majlis-majlis jamuan.
Mahu kelainan boleh sediakan Cendol Durian, Cendol Mangga, Cendol Nata De Coco dan banyak lagi. Bayangkan sejuknya cendol berwarna warni, lembutnya cendol dan manisnya buah-buahan pasti buat tetamu berpuas hati serta pulang dengan gembira penangan hidangan unik ini.
#5. Aneka Sandwich
Di Malaysia, roti sudah menjadi satu makanan rutin pelbagai peringkat masyarakat. Apa kata hidangkan pelbagai sandwiches untuk tetamu anda. Sandwich Ayam, Sandwich Tuna, Sandwich Udang, Sandwich kambing bakar, Sandwich Ikan dan banyak lagi.
Selain penuh dengn isi, ia penuh juga dengan sayuran. Ada tetamu yang memang tidak makan menu berat, mereka akan gantikan dengan sandwich.
Senarai 5 hidangan unik untuk keraian ini diharapkan dapat memberi anda idea memberi kelainan kepada tetamu.
Apabila tetamu gembira, mereka sentiasa mendoakan tuan rumah, pasangan pengantin, perusahaan atau syarikat yang menganjurkan majlis begini. Ini juga salah satu tanda anda meraikan tetamu yang hadir.
Selain hidangan ini, anda juga boleh memilih hidangan unik berdasarkan menu masakan daripada negeri-negeri berlainan di Malaysia.
Tetamu dari Johor boleh merasa laksam di Kelantan. Tetamu daripada Perlis boleh merasa hidangan unik laksa di Johor. Ia juga satu idea yang menarik!