Buat yang akan mengadakan majlis, pasti akan tertanya-tanya antara dua persoalan ini: nak ambil katering atau masak sendiri? Mana lebih berbaloi?
Di sini saya sertakan perbezaan antara dua perkara ini. Kita akan lihat situasi pada sebelum majlis. Jika kita masak sendiri, kita perlu menyenaraikan dan membeli semua barang mentah, sewa pinggan, cawan, mangkuk, sudu dan garfu. Tuan rumah juga perlu memasak makanan, panggil saudara mara dan jiran-jiran terdekat. Kadang-kala ada yang datang tolong, ada yang tidak dapat tolong. Jika keluarga ramai baguslah, jika tidak, tuan rumah yang akan masak semua tu.
Kerja-kerja seperti membasuh pinggan, membuang sampah, mengemas rumah, menyapu sampah dan menyiapkan tempat majlis. Jika masak sendiri, tuan rumah akan melibatkan diri untuk kerja-kerja ini. Jika ambil katering pula, mereka hanya perlu order dan bayar deposit. Tak perlu nak memikirkan tentang cara nak masak, nak beli barang basah. Mereka akan siap masak di tempat mereka sendiri. Jadi tua rumah dapat jimatkan tenaga untuk mengemas dapur. Selebihnya pihak katering akan uruskan.
Perkhidmatan katering biasanya akan menyiapkan peralatan termasuk pinggan, mangkuk dan ada juga yang menyediakan sekaligus dengan khemah serta pelayan. Kebiasaannya perkhidmatan katering akan mempunyai sijil kesihatan, lesen dan sebagainya. Selain itu, boleh juga tengok katering melalui pengalaman majlis yang lain. Ini antara tips yang saya kongsikan bagi yang ingin mengambil katering nanti.
Kita lihat pula semasa majlis. Jika masak sendiri, tuan rumah perlu topup makanan jika habis dan kemas pinggan cawan yang telah digunakan. Selepas itu kena pastikan peralatan cukup dan bersih di samping nak menyambut kedatangan tetamu. Jika tuan rumah ambil katering pula, mereka hanya akan terima ketibaan makanan dan selesaikan bayaran baki. Tuan rumah hanya perlu melayan tetamu dan boleh duduk berehat jika penat. Tidak payah nak topup makanan, kerana pramusaji bertugas akan disediakan. Cawan dan pinggan mangkuk pun mereka akan uruskan dan pastikan ia mencukupi serta bersih.
Jika selepas majlis pula, bagi tuan rumah yang masak sendiri, mereka perlu kemas semula tempat, susun atur semula kerusi meja, basuh pinggan dan periuk belangga, sapu serta kutip sampah. Sekiranya ada saudara mara atau ahli keluarga ramai ini adalah satu kelebihan, dan sekiranya tinggal dibandar, saudara sudah pulang ke kampung, semua itu tuan rumah kenalah buat sendiri. Jika ambil khidmat katering pula, tuan rumah hanya perlu terus rehat dan tidur selepas selesai sahaja majlis kerana tim pembersihan bertugas akan menguruskannya.
Begitulah perbezaan antara masak sendiri dan ambil khidmat katering. Bila buat keputusan seperti ini, biasanya kita akan lihat sudut bajet. Tapi kita terlupa untuk lihat pada sudut masa. Bila nak jimat duit, kita akan pilih untuk masak sendiri. Bila nak jimat tenaga dan masa pula, kita boleh ambil khidmat katering. Tetapi ini terpulang kepada situasi bagi yang ingin membuat majlis.