Ketupat atau Nasi Impit antara hidangan wajib Hari Raya. Sesuai dimakan dengan kuah kacang, ayam atau daging rendang. Makan dengan ayam lengkuas pun sedap.
Siapa pernah potong nasi impit belum sampai sehari nasi impit tu sudah basi berair? Terpaksa dibuang sebab basi. Sayang, kan?
Sebenarnya, ada petua tau bagaimana memasak nasi impit supaya tahan lama.
Di sini admin kongsikan 7 PETUA MASAK NASI IMPIT/KETUPAT TAHAN SEHINGGA 2-3 HARI
1. BASUH BERAS SEHINGGA BERSIH
Pastikan beras dibasuh sehingga betul-betul bersih. Basuh 2-3 kali hingga air beras itu kelihatan jernih.
Sama juga untuk yang menggunakan nasi impit segera atau instant. Basuh bersih sehingga air masuk ke dalam paket nasi impit.
2. REBUS BERSAMA LIMAU KASTURI/ASAM GELUGUR
Masukkan satu atau dua keping potongan limau kasturi semasa merebus nasi impit. Mahu gunakan kepingan asam gelugur pun boleh juga.
Orang tua dulu-dulu gunakan cara ini untuk elakkan nasi impit cepat basi. Bolehlah cuba.
3. TABUR SEDIKIT GARAM
Salah satu petua, taburkan sedikit garam ke dalam air rebusan nasi impit anda.
Kalau mahu wangi, boleh rebus bersama daun pandan. Sama macam masak nasi biasa juga.
4. REBUS SEHINGGA 2 JAM
Pastikan beras di dalamnya direbus sehingga betul-betul masak. Disarankan rebus paling kurang 2 jam untuk pastikan nasi impit itu masak sepenuhnya.
Tapi masa merebus ni juga bergantung dengan saiz nasi impit dan kuantitinya. Jika saiznya besar atau kuantitinya banyak, seeloknya rebus lama sedikit.
5. TOS SEHINGGA KERING
Selepas nasi impit masak sepenuhnya, angkat dan toskan sehingga betul-betul kering.
Boleh anginkan di depan kipas supaya airnya cepat kering. Bagi yang gunakan daun ketupat pula, boleh gantungkan supaya airnya cepat keluar dan kering.
6. SIMPAN DALAM FREEZER/PETI SEJUK
Salah satu cara juga supaya nasi impit tahan lama, boleh juga simpan di dalam freezer. Bila mahu dihidangkan, baru keluarkan dan kukuskan sekejap.
Sebelum simpan dalam freezer, pastikan nasi impit tadi diletakkan dalam container atau bekas kedap udara. Ini untuk elakkan bau-bauan dalam freezer menyerap dalam nasi impit.
7. POTONG HANYA BILA MAHU DIHIDANGKAN
Potong hanya bila mahu dimakan atau dihidangkan. Jika potong terlalu awal dan dibiarkan bertutup di dalam bekas, itu juga jadi penyebab nasi impit cepat berair dan basi.
Sebelum memotong nasi impit tu, pastikan tangan anda dan papan pemotong juga bersih dan kering. Paling baik jika pakai sarung tangan. Kebersihan tu kan penting.
Diharapkan dengan perkongsian ini, nasi impit anda raya kali ini dapat bertahan lama. Pembaziran pun dapat kita elakkan, betul tidak?