Persediaan sebelum kahwin perlulah sempurna dan teratur kerana majlis bermakna ini adalah yang terbesar dalam hidup bakal pengantin, kan? Di sini Kharisma sediakan 10 tips persedian perkahwinan untuk bakal pengantin di luar sana.
TIPS 1: TENTUKAN TARIKH DAN LOKASI MAJLIS PERKAHWINAN KEDUA-DUA PIHAK.
Bagi pasangan bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan pemilihan tarikh dan lokasi adalah perkara utama yang perlu difikirkan. Biasanya ramai yang akan memilih tarih hujung tahun semasa cuti persekolahan. Ini memudahkan saudara mara dan kawan-kawan datang ke majlis mereka.
Ada juga yang memilih tarikh semasa cuti umum atau hari lahir mereka sebagai hadiah bermakna gitu. Terpulang kepada anda, yang penting kedua-dua belah pihak keluarga bersetuju dengan tarikh tersebut. Jika pasangan daripada negeri yang berbeza, jarakkan tarikh antara kedua-dua majlis supaya keluarga anda tidak penat kerana kelam-kabut.
Dua perkara ini perlu di tetapkan lebih awal dan selewat-lewatnya 6 bulan sebelum majlis. Ini untuk memudahkan persiapan perkahwinan berjalan dengan lancar.
TIPS 2: TETAPKAN KONSEP DAN TEMA WARNA MAJLIS PERKAHWINAN.
Berbincang dengan pasangan anda, apakah tema yang sesuai dan menarik untuk majlis kahwin anda nanti. Biasanya dalam bab-bab seperti ini, bakal pengantin perempuan yang lebih excited dan banyak ideanya. Itulah kelebihan seorang bergelar wanita.
Pemilihan tema juga dapat memudahkan penyediaan dewan, pelamin, baju pengantin dan dulang hantaran. Antara konsep yang menjadi pilihan ramai pasangan bakal pengantin adalah:
- Konsep Klasik Melayu
- Konsep Garden
- Konsep Inggeris
- Konsep Pantai
- Konsep Moden
- Konsep Fairy Tale
- Konsep Santai
Bagi pemilihan tema warna pula, tentukan awal-awal supaya senang nak buat baju ahli keluarga anda, warna dulang hantaran, hiasan pelamin dan baju pengantin.
TIPS 3: BINCANGKAN HANTARAN DAN JUMLAH DULANG.
Ini juga boleh sebabkan kelam-kabut kalau tidak dibincangkan. Kadang-kala, pasangan pengantin terlupa untuk bincangkan hal ini. Jumlah dulang adalah nombor yang ganjil. Ini tidaklah wajib sebenarnya tetapi telah menjadi adat orang Melayu kita.
Biasanya pengantin akan berbalas dulang seperti dalam kombinasi yang berikut:
- Pihak perempuan 11 dulang, dibalas 9 dulang dari pihak lelaki
- Pihak perempuan 9 dulang, dibalas 7 dulang dari pihak lelaki
- Pihak perempuan 7 dulang, dibalas 5 dulang dari pihak lelaki
TIPS 4: TEMPAH PERSALINAN BAJU RAJA SEHARI.
Cari butik pengantin pilihan mengikut bajet anda dan yang paling penting kena dengan tema majlis perkahwinan nanti. Biasanya, bakal pengantin akan memilih baju tradisional. Songket bagi yang berbangsa Melayu, Cheongsam bagi yang berbangsa Cina, dan Sari bagi yang berbangsa India. Ada juga yang memilih dress dan tuxedo. Bagi yang konsep islamik akan memilih jubah.
TIPS 5: TENTUKAN KHIDMAT DANDANAN DAN SOLEKAN.
Cari servis dandanan yang bersesuaian, yang terbukti berkualiti dan sepadan dengan harga yang diminta. Pastikan anda melihat sendiri hasil dandanan mak andam tersebut. Paling baik jika anda minta test make-up/pre-wedding make-up di wajah anda.
Bincang dengan make-up artist anda apa yang anda mahukan dan apa yang anda tidak suka, supaya senang mereka nak menatarias wajah anda nanti. Hasil solekan boleh tentukan mood pengantin perempuan tau. Kalau tidak mengena dihati mereka, boleh jadi bad mood sepanjang majlis. Bahaya tuu…
TIPS 6: BELI CINCIN PERKAHWINAN.
Pengantin lelaki akan memakaikan gelang atau sarungkan cincin ke tangan perempuan semasa sesi batal air sembahyang. Pasangan pengantin boleh pilih nak beli cincin di mana, sama ada nak beli di kedai emas berhampiran kawasan anda atau di kedai emas popular seperti Habib Jewels, Poh Kong dan sebagainya. Ikut bajet masing-masing la ye…
TIPS 7: DAPATKAN SENARAI TETAMU JEMPUTAN.
Pastikan anda menyiapkan senarai jemputan tetamu untuk kedua-dua majlis lelaki dan perempuan. Jika majlis diadakan di hotel atau dewan, digalakkan untuk letak nama tetamu pada tempat duduk. Ini akan membantu melancarkan majlis anda nanti.
TIPS 8: TENTUKAN MENU MAKAN MAJLIS DAN KATERING PILIHAN.
Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah hidangan buat para tetamu. Mengapa? Sebab perkara yang diingati oleh tetamu adalah kesedapan makanan pada majlis kahwin anda. Jadi, jika anda menggunakan khidmat katering pastikan pilih dengan berhati-hati.
Buat temujanji atau food tasting dengan pihak katering untuk merasa menu hidangan yang dipilih. Bawa dua hingga ima orang ahli keluarga anda untuk dapatkan cadangan mereka.
TIPS 9: TEMPAH KAD KAHWIN.
Untuk kad kahwin, bakal pengantin boleh pilih sama ada melalui tempahan atau cara DIY. Jika secara tempahan, digalakkan untuk ambil pakej lengkap seperti design, percetakan dan envelope. Banyak pakej yang menawarkan pakej dan ada yang bagi percuma lagi tau. Tetapi kos keseluruhan bergantung kepada kualiti kertas, halaman kad dan design.
TIPS 10: BUAT SENARAI TUGASAN AHLI KELUARGA ANDA.
Buat senarai tugasan untuk setiap ahli keluarga beberapa minggu sebelum majlis. Ini membantu supaya majlis anda tidak kucar-kacir nanti. Antara tugasan yang boleh dibahagikan adalah:
- Menjaga meja hadiah.
- Menyambut tetamu.
- Menangkap gambar.
- Menjadi pengapit/tukang kipas/tukang payung.
- Menghidang makanan di meja keluarga pengantin.
- Memberi goodies/bunga telur.
- Menjaga barang hantaran.
- Mengatur pinggan dan cawan untuk hidangan tetamu.
SEMOGA PERKONGSIAN INI DAPAT MEMBANTU BAKAL PENGANTIN DI LUAR SANA.